Buaya sesat tumpas di tangan APM Betong

Anggota APM dan penduduk kampung menunjukkan seekor buaya yang ditangkap di Kampung Spaoh, Betong.
Advertisement

BETONG, Julai 10: Kebimbangan penduduk di Kampung Spaoh di sini terhadap keselamatan mereka selepas sering diancam oleh seekor buaya berakhir apabila reptilia berkenaan berjaya ditangkap hari ini.

Buaya berukuran kira-kira 1.8 meter tersebut ditangkap oleh lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Betong.

Pegawai Operasi APM Betong, Hasla Deli berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan buaya tersebut pada pukul 11.10 pagi daripada penduduk kampung.

Advertisement

Ujarnya, sepasukan lima anggota APM Betong kemudian bergegas ke kampung berkenaan untuk melakukan operasi menangkap sang bedal itu.

“Sebaik tiba di lokasi pada pukul 11.43 pagi, anggota APM mendapati seekor buaya berada di belakang rumah seorang penduduk di situ.

“Anggota APM kemudian bertindak menangkap reptilia itu dengan memasukkan tali ke dalam rahang sang bedal tersebut sebelum menutup kepalanya dengan menggunakan guni dan mengikat kakinya dengann tali,” katanya di sini hari ini.

Hasla menambah, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk menangkap buaya berkenaan dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah hari.

“Sepanjang operasi dijalankan, sang bedal itu tidak bertindak agresif dan memudahkan tugas anggota APM melakukan operasi khas tersebut.

“Buaya sebarat kira-kira 50 kilogram itu kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Betong untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement