Broker perumahan lesap wang RM913,504 akibat terpedaya ‘african love scam’

Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah
Advertisement

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Dis 8: Seorang broker perumahan terpaksa berputih mata selepas kerugian sebanyak RM913,504 akibat terpedaya dengan sindiket ‘African love scam’.

Kejadian melibatkan seorang wanita berusia 51 tahun itu dilaporkan berlaku antara April sehingga 5 Dis lepas.

Advertisement

Bagaimanapun, laporan polis berhubung kejadian berkenaan hanya dilakukan oleh mangsa, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Chen Wei dalam laman Facebook (FB).

Katanya, suspek (Chen Wei) kemudian mengatakan dirinya adalah warga Malaysia, namun sudah lama menetap di Amerika Syarikat.

“Suspek seterusnya memberikan mangsa nombor telefon +1(813) 278-7247 dan selalu berhubung dengan wanita berkenaan menggunakan aplikasi WhatsApps.

“Selepas itu, pada Mei lepas, suspek telah mengatakan hasrat untuk datang ke Malaysia untuk tujuan perniagaan dan uruskan projek di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini ini.

Mustafa menambah, suspek seterusnya memberitahu mangsa yang suspek ada masalah dan perlu bantuan kewangan kononnya telah ditangkap oleh polis Malaysia kerana terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram.

Katanya, mangsa yang terpedaya dengan tipu helah suspek kemudian memasukkan wang RM2,000 ke dalam akaun suspek.

“Selepas itu mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat iaitu 22 transaksi ke dalam akaun bank yang berbeza.

“Mangsa juga ada menyerahkan wang tunai RM10,000 kepada seorang wanita di Hotel S.Damansara, Kuala Lumpur, pada 19 Julai lalu,” ujarnya.

Tidak cukup itu katanya, mangsa juga telah poskan passport antarabangsa kepada suspek bagi tujuan permohonan visa di Amerika Syarikat.

“Mangsa yang mulai sedar dirinya tertipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement