‘BR1M bukan ‘gula-gula’ daripada kerajaan’

Jamilah (dua dari kiri) menyampaikan baucer BR1M kepada penerima di Lundu.
Advertisement

LUNDU, April 14: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan oleh kerajaan bukannya ‘gula-gula’ seperti didakwa oleh pihak pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, sebaliknya bantuan itu dilihat benar-benar dapat membantu rakyat yang berpendapatan rendah di negara ini.

Jelas beliau, BR1M juga mampu menampung keperluan keluarga dan kos sara hidup rakyat yang kian meningkat saban hari.

Advertisement

“Biarpun ada pihak yang menyatakan bahawa BR1M adalah ‘gula-gula’ atau ‘rasuah’ daripada kerajaan, namun hakikatnya ia memberi kesan baik kepada ekonomi negara.

“BR1M juga mampu meningkatkan daya beli rakyat, sekali gus menjana ekonomi setempat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Baucer BR1M di Dewan Suarah Lundu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamilah memberitahu, kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) sememangnya sangat prihatin terhadap masalah rakyat.

Katanya, segala usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan sepatutnya difahami oleh rakyat sebagai tanda satu rasa bertanggungjawab mereka.

“Sehubungan itu, kita sebagai rakyat Malaysia harus peka dengan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban hidup rakyat dalam pelbagai aspek,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement