Boulevard terbesar di Sarawak dibina di Kota Samarahan — Abdul Karim

Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 20 April: Sebuah Boulevard atau dataran lapang yang terbesar di Sarawak bakal dibina di kawasan Samarahan berdekatan bulatan Masjid Al-Mutaqin menuju ke bangunan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS).

Menurut laporan TVS, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek Boulevard Samarahan sepanjang dua kilometer dengan lebar 26 meter menelan belanja lebih RM100 juta.

Katanya, ia telahpun dipersetujui oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan dijangka bermula tahun ini.


“Pembinaan Boulevard di kawasan Samarahan itu sebagai perancangan kerajaan negeri bagi menggantikan lokasi acara besar-besaran yang sering diadakan di Padang Sentral, Kuching.

“Padang Sentral pada ketika ini semakin mengecil. Apabila kita mengadakan perarakan, (kawasan itu) terlalu sesak dan kita memerlukan ruang besar yang tidak akan menyebabkan kesesakan di bandar,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Asajaya 2024 di Kompleks Sukan Asajaya, hari ini.

Apabila siap nanti, kawasan dataran itu akan mempunyai pelbagai fasiliti seperti laluan trek joging dan basikal serta ruang bagi riadah keluarga. — DayakDaily