Bot nelayan Vietnam langgar kapal APMM selepas dikesan curi hasil laut

Nelayan asing yang ditahan untuk siasatan lanjut.
Advertisement

KUCHING,26 Ogos: Sudahlah menyamar, malah sekumpulan nelayan asing warganegara Vietnam bertindak agresif dengan melanggar kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Isnin (23 Ogos) lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sarawak Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata, bot nelayan Vietnam itu dikesan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak lebih kurang 250 batu nautika timur laut Tanjung Po.

Katanya, kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (KM Bijak) mengesan bot nelayan asing tersebut menceroboh perairan negara dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

Advertisement

“Ketika KM Bijak cuba merapati bagi tujuan pemeriksaan, bot tersebut bertindak melarikan diri dengan tekongnya mengemudi bot secara agresif mengakibatkan sisi kanan kapal KM Bijak dilanggar.

“Namun KM Bijak terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir 30 minit untuk dipintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat seramai 16 kru kapal termasuk tekong terdiri daripada warga Vietnam masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 53 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu, katanya, bot terbabit turut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Jelasnya, setelah ditahan kesemua kru serta bot telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (Komtas) Kuching untuk siasatan lanjut.

Dedahnya, pemeriksaan lanjut turut merampas barangan kes berupa peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel lebih kurang 10,000 liter, sekali gus menjadikan rampasan kes termasuk bot dianggarkan bernilai RM1 juta.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.

“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh didenda sehingga RM6 juta, manakala anak kapal boleh didenda sehingga RM600 ribu setiap seorang dan vesel boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya. — DayakDaily

Advertisement