Bot ekspres dari Sibu ke Kapit dikhuatiri bocor, para penumpang cemas

Kelihatan sebuah bot ekspres yang ditarik ke tebing Sungai Kanowit.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Jun 2: Para penumpang yang menaiki sebuah bot ekspres dari Sibu ke Kapit berdepan detik mencemaskan apabila bot yang dinaiki mereka dikhuatiri mengalami kebocoran di tebing Sungai Kanowit di sini hari ini.

Bagaimanapun, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang kes kemalangan jiwa atau melibatkan kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 3 petang.

Katanya, pihak bomba sebelum itu juga memperoleh maklumat mengenai kejadian berkenaan menerusi gambar-gambar yang ditularkan dalam media sosial.

“Pasukan bomba segera bertindak melakukan rondaan dan pemantauan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapat sebuah bot ekspres telah ditarik ke tebing Sungai Kanowit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, hasil maklumat yang diterima daripada orang awam di tempat kejadian, bot ekspres itu dikatakan dalam perjalanan dari Sibu ke Kapit.

Antara barangan penumpang bot ekspres yang dibawa keluar.

Bagaimanapun katanya, bot ekspres berkenaan dikhuatiri bocor dan penumpang serta barang-barang dari dalam bot itu kemudian dibawa keluar ke jeti di Sungai Kanowit.

“Bot ekspres itu kemudian ditarik ke tepi sungai bagi mengelak ia daripada karam.

“Tiada mangsa lemas dilaporkan dan operasi ditamatkan pada pukul 3.20 petang,” katanya. — DayakDaily