Oleh Chris Bishop
KUCHING, 3 Okt: Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada di dalam keadaan sedia sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan semasa musim banjir penghujung tahun ini.
Ketua Pengarahnya Dato Sri Ts. Mohammad Hamdan Wahid berkata, kesiapsagaan semua anggota di seluruh negara telah bermula sejak April lepas.
Malah jelas beliau, JBPM juga sedia untuk menggerakkan semua logistik jika ada permintaan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membawa pengundi ke pusat mengundi.
“Jika ada permintaan daripada SPR, kita akan bertindak dan JBPM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis, JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia), tentera dan sebagainya yang turut memiliki (aset) logistik.
“Kalau kerajaan beri arahan, JBPM akan menggerakkan logistik, kita akan beri sokongan,” katanya pada sidang media selesai Perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Pindaan 2021) di Kuching hari ini.
Seminar telah dirasmikan Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Berdasarkan pemerhatian pada tahun 2021, tambah Mohammad, perubahan angin monsun (Monsun Timur Laut) dikenali dengan luruan 1 hingga 6 dengan Luruan Pertama bermula pada bulan Ogos 2021.
Luruan Kedua melanda pada bulan September, Luruan Ketiga pada bulan Oktober dan November manakala Luruan Keempat pada Januari dan Februari.
“Luruan paling teruk ialah Luruan Ketiga bila Taman Sri Muda, Shah Alam, Maran, Bentong yang bukan tempat kerap kejadian banjir telah menghadapi situasi banjir teruk.
“Maka dari luruan itu, kita lihat pada tahun ini Luruan Ketiga dijangka berlaku pada November dan melibatkan 3 negeri di Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.
“Luruan Kelima berkemungkinan pada Februari dan melibatkan Sarawak, Sabah dan Johor,” kata Mohammad Hamdan. — DayakDaily