Oleh Dean Adam
MIRI, Ogos 23: Seorang wanita nyaris menemui ajal selepas kereta Proton Saga yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di KM118, Jalan Miri-Bintulu, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 pagi itu, wanita yang berusia 30-an tersebut dilaporkan cedera.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri, Mohamad Hamdani Madon, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dari BBP Miri yang sedang beroperasi memadam kebakaran belukar di Kuala Baram kemudian diarahkan ke di lokasi kejadian dan tiba pada jam 11.24 pagi.
“Apabila tiba, pemandu kereta tersebut telah dikeluarkan oleh orang awam dan telah dibawa ke Klinik Kesihatan Niah bagi mendapatkan rawatan.
“Pemandu lori tersebut pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak bomba kemudiah membuat kerja-kerja pembersihan sisa-sisa bekas kemalangan.
“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 11.35 pagi,” katanya. ā DayakDaily