Bomba lakukan operasi khas bantu pendaki wanita di Gunung Singai

Pasukan bomba sedang membantu mangsa.

Oleh Dean Adam

BAU, Mac 16: Pasukan bomba dan penyelamat dari Bau telah melakukan operasi khas membawa turun seorang pendaki wanita yang tercedera di Gunung Singai di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pasukan bomba menerima laporan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.09 petang.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi khas membawa mangsa yang cedera.

Pasukan bomba mengusung mangsa yang cedera.

“Apabila tiba di lokasi, komander operasi melaporkan mangsa yang berusia 18 tahun telah terseliuh kaki kanannya semasa dia menjalankan aktiviti mendaki gunung itu bersama seorang lagi rakannya.

“Pasukan bomba kemudian membawa turun mangsa menggunakan pengusung,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Jurucakap sama memberitahu, mangsa seterusnya diberi rawatan awal sebelum dihantar ke hospital.

“Operasi tersebut telah tamat pada pukul 4.30 petang,” katanya. — DayakDaily