Oleh Dean Adam
MIRI, Ogos 10: Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri telah membuat laporan polis berhubung kes disyaki khianat yang menyebabkan kebakaran di kawasan Kompleks Hamidah, di sini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata laporan polis itu dibuat susulan penemuan tombol pintu yang diikat dengan rumput kering bagi tujuan pembakaran di kawasan tanah Naim Development.
Katanya, Bomba percaya kebakaran yang berlaku di kawasan Kompleks Hamidah adalah berpunca daripada perbuatan khianat berdasarkan beberapa bukti yang ditemui di lokasi.
”Satu laporan polis sudah dibuat bagi siasatan lanjut dilakukan,” katanya di sini, hari ini.
Tiong menambah, operasi pemadaman kebakaran di kawasan Kompleks Hamidah yang bermula pada 1 Ogos lepas masih diteruskan sehingga hari ini.
Katanya, operasi itu melibatkan 32 anggota bomba termasuk bantuan 11 orang pekerja Naim.
”Keluasan yang berjaya dipadamkan setakat ini ialah 15 ekar dan baki 35 ekar akan diteruskan menggunakan jengkaut,” katanya. — DayakDaily