BINTULU, Mac 10: Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu telah melakukan khidmat khas mengangkat seorang wanita yang tergelincir dan cedera di kawasan kebun di RPR Bandar Ria di sini hari ini.
Komander Operasi BBP Bintulu, Helman Main berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 8.21 pagi.
Katanya, sebaik menerima laporan kejadian, lima anggota bomba dari BBP Bintulu bergegas ke lokasi untuk melakukan tindakan lanjut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati seorang wanita dalam keadaan terbaring dan mengalami kecederaan pada anggota badannya.
“Pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawa wanita tersebut ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Helman, pasukan bomba melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan mengunakan sistem ‘lowering’ dan ‘stretcher’ menurunkan mangsa perlahan-lahan sehingga selamat.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya selepas mangsa diserahkan kepada petugas hospital.
“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.02 pagi,” katanya lagi. — DayakDaily