Bomba bantu wanita warga Romania terkandas di Gua Niah

Pasukan bomba mengusung mangsa dari lokasi kejadian.

BATU NIAH, 30 Jan: Seorang wanita warganegara Romania dilaporkan terkandas di Gua Niah selepas dikatakan tergelincir dan terseliuh hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.49 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa dikatakan tergelincir dan terseliuh, luka di kaki kanan ketika dalam perjalanan memasuki Gua Niah.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengangkat dan membawa mangsa berjalan kaki keluar pada jarak kurang 3.5 kilometer sehingga ke pangkalan menggunakan pengusung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai. — DayakDaily