KAPIT, Jan 24: Seorang pesakit lelaki yang mengalami masalah obesiti dan seberat kira-kira 150 kilogram terpaksa diangkat oleh pasukan bomba untuk dibawa ke jeti bot ekspres di sini semalam.
Sebelum itu, pihak Hospital Kapit telah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kapit untuk mendapatkan bantuan khas untuk pesakit yang berusia 52 tahun kira-kira pukul 2.20 petang.
Sejurus menerima panggilan berhubung bantuan khas itu, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit bergegas ke hospital untuk melakukan tindakan selanjutnya.
Sebaik tiba kira-kira tujuh minit kemudian, pasukan bomba kemudian membantu petugas hospital mengangkat pesakit tersebut ke jeti bot ekspres untuk dibawa ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan lanjut
Operasi tamat sepenuhnya selepas pesakit itu dimasukkan ke dalam bot laju untuk dihantar ke Hospital Sibu. — DayakDaily