Bina Institusi Latihan Kemahiran Jepak, penuhi permintaan tenaga kerja mahir di Bintulu – Adun Jepak

Iskandar dalam ucapan sulung di Persidangan Dewan Undangan Negeri setelah memenangi Pilihanraya Kecil DUN Jepak 4 Nov lepas.

KUCHING, 22 Nov: Adun Jepak Iskandar Turkee memohon agar dibina Institusi Latihan Kemahiran di kawasannya bagi melengkapkan belia dengan skill dalam pelbagai bidang industri.

Dalam ucapan sulung di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, Iskandar berkata, ia penting kerana Bintulu menjadi tumpuan bagi industri penyerapan, penggunaan dan penyimpanan (CCUS) karbon baharu negeri.

Katanya, Bintulu juga menjadikan kawasan kepada penghasilan hydrogen dan biobahan api lain.


“Sehubungan dengan itu, adalah menjadi hasrat warga Jepak untuk memohon agar dibina sebuah Institusi Latihan Kemahiran.

“Ini bagi melengkap belia Jepak dengan skill yang bersesuaian kebolehpasaran mereka dengan industri yang sedia ada atau baru di Bintulu,” kata Iskandar.

Tambah beliau yang berucap sebagai menyokong Resolusi Perbelanjaan Pembangunan 2024, kerajaan perlu bijak untuk mengurus cabaran perdana dengan strategi yang lebih kreatif dan inovatif.

Ia meliputi aspek peluang pekerjaan, pelaburan dan pekerjaan serta pendidikan sehingga menyentuh aspek kesejahteraan sosial.

Disamping itu ujarnya, kejayaan kerajaan mengambil alih Pelabuhan Bintulu akan membawa impak besar dalam pembangunan bahagian tersebut.

“Saya yakin kerajaan Sarawak akan berjaya meletakan Pelabuhan Bintulu setaraf dengan pelabuhan antarabangsa yang lain dengan mengubahkannya sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Pasifik,” kata Iskandar.

Tambah beliau, Projek pembangunan Jepak Jaya yang dalam pembinaan akan menjadikan bandar Bintulu lebih progresif dan dinamik.

Ini dibuktikan dengan pembinaan pusat pentadbiran Bahagian Bintulu yang baharu.

“Manakala, Jambatan Bintulu-Jepak akan merancakkan lagi aktiviti pembangunan dan ekonomi di kawasan Jepak.

“Jepak Jaya akan dibangunkan sebagai pusat komersial baharu yang dilengkapi semua kemudahan asas termasuk perumahan,” ujar Iskandar. — DayakDaily