BINTULU, Jun 15: Seorang lelaki yang bertarung nyawa selama empat jam selepas terlibat dalam kemalangan disahkan meninggal dunia di Hospital Bintulu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, Edward Kennedy Lassan, 35, dilaporkan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Bintulu pada pukul 11 malam.
Jelasnya, sebelum itu, mangsa yang memandu Toyota Hilux dikatakan telah melanggar hadapan sebelah kiri sebuah bas pekerja yang datang dari arah bertentangan di KM42, Jalan Persisir Bintulu-Miri.
“Impak perlanggaran itu mengakibatkan kenderaan yang dipandu mangsa terbabas di bahu jalan.
“Kesan insiden itu juga menyebabkan mangsa cedera parah di kepala, manakala pemandu bas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.
Alexson menambah, keluarga mangsa sudah dimaklumkan dengan nahas tersebut.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily