PUSA, Dis 12: Selepas 11 jam bertarung nyawa, seorang lelaki yang dalam keadaan kritikal selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pusa dekat sini disahkan meninggal dunia malam tadi.
Mangsa, Muhamad Sulong Bujang, 71, dari Kampung Tengah, Beladin menghembuskan nafasnya yang terakhir semasa menerima rawatan di Hospital Sarikei kira-kira pukul 11.30 malam selepas terbabit dalam kemalangan pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri difahamkan sedang dalam perjalanan menuju ke Pekan Pusa dekat sini.
Bagaimanapun, ujarnya, malang menimpa lelaki warga emas itu apabila tiba-tiba dirempuh oleh sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki berumur 29 tahun.
“Akibat rempuhan kuat mengakibatkan lelaki malang itu tercampak dari motosikalnya dan terjatuh ke atas jalan raya.
“Kemalangan itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badannya.
“Namun, seorang lagi lelaki yang dikenali sebagai Jefferi Akim hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bingkok menambah, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Jefferi secara laju telah hilang kawalan lalu merempuh motosikal dinaiki mangsa.
Jelasnya, semasa kejadian, cuaca adalah cerah, manakala permukaan jalan raya rata dan kering.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily