Maxis mensasarkan liputan jalur lebar 4G untuk pekan kecil

Alexius Bong (duduk dua dari kiri) bersama warga media yang menghadiri majlis jamuan anjuran Maxis.

KUCHING, Dis 12: Maxis akan mempergiatkan usaha memperluaskan liputan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi 4G syarikat telekomunikasi itu ke pekan kecil yang terdapat di kawasan luar bandar seluruh negeri ini.

Ketua Wilayah Sarawak Maxis, Alexius Bong berkata demikian kerana pihaknya berminat terus meningkatkan lagi keluasan liputan rangkaian jalur lebar 4G Maxis walaupun kini liputannya sudah mencecah sehingga 86 peratus populasi penduduk negeri ini.

“Maxis akan terus memperluaskan liputan rangkaian jalur lebar 4G dan ini walaupun liputan itu sudah mencecah sehingga 86 peratus populasi di negeri ini. Sehubungan itu, kami juga berminat dengan pekan kecil, malahan kalau anda memandu ke pekan terbabit seperti Spaoh, Debak dan Betong, kesemua pekan ini sudah mempunyai liputan rangkaian jalur lebar terbabit,” katanya ketika mengadakan majlis jamuan bersama media di Hotel Hilton, di sini, semalam.


Manakala pekan lain yang juga sudah ada liputan rangkaian jalur lebar 4G Maxis ketika ini ialah Siburan, Bau, Lundu, Sematan, Bintangor, Kanowit, Julau, Samalaju, Tatau, Limbang, Lawas, Mukah, Kapit, Saratok, dan Sarikei.

Bong berkata syarikat telekomunikasi itu juga mensasarkan pekan kecil di luar bandar bagi memperluaskan liputan jalur lebarnya adalah kerana mahu memberikan pengalaman Internet yang baik kepada semua pelanggan perkhidmatan jalur lebar yang disediakan syarikat terbabit di seluruh negeri ini.

“Begitu juga dengan produk kami; sebab itu kami mengubah pelan MaxisONE dan sejak minggu lepas kami telah meningkatkan kepada 10GB data kepada semua pelan MaxisONE dan tiada lagi hari biasa dan hujung minggu kerana semua menjadi satu pelan,” katanya.

Alexius Bong (kiri) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada warga media yang menghadiri majlis jamuan anjuran Maxis.

Bong berkata Maxis juga pada awal tahun ini telah melancarkan jalur lebar MaxisONE Home Fibre dengan kelajuan sehingga 100 megabit sesaat (Mbps) di Malaysia Timur dan kawasan perumahan yang ada jaringan fibre akan boleh mengunakan perkhidmatan ini.

“Bagi pasaran prabayar, Hotlink FAST kami memberikan pelanggan sehingga 999GB data Facebook percuma setiap hari,” katanya. Beliau menambah kata dengan kesemua usaha terbabit yang bermula tahun ini adalah sebagai menyokong masyarakat di Sarawak disamping menambahbaik pengalaman kalangan pelanggan internet Maxis.

Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada warga media di negeri ini kerana telah sepanjang tahun memberikan sokongan yang baik kepada segala usaha yang telah dijalankan syarikat telekomunikasi itu. — DayakDaily