Bersatu Sarawak lancar Pelan Tindakan 2020

Jafri (duduk enam kiri) merakamkan kenangan bersama ahli-ahli Bersatu Sarawak selepas mesyuarat.

KUCHING, 1 Dis: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak telah melancarkan Pelan Tindakan Bersatu Sarawak bagi tahun 2020.

Menurut ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN), Jafri Alkaf Abdullah Suffian, pelan tindakan itu memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan parti serta membina jentera.

“Pelan tindakan juga adalah untuk menyediakan parti untuk bersama Pakatan Harapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang Ke-12,” katanya menerusi kenyataan media.


Terdahulu, Bersatu Sarawak telah mengadakan mesyuarat pertama peringkat negeri di sini.

Disamping itu, Jafri juga berkata mesyuarat telah memberi nafas baru kepada tiga bidang kuasa yang menjadi tumpuan semasa Bersatu Sarawak.

Pertama, katanya, untuk memperkasakan sosio-ekonomi terutama bagi penduduk luar bandar.

Kedua adalah untuk menfokuskan pembangunan luar bandar Sarawak dan ketiga ialah untuk memberi perhatian kepada perlaksanaan dasar-dasar pendidikan negara di negeri Sarawak, ujar beliau.

Selain itu, tambah beliau, Bersatu Sarawak mendapat sokongan padu daripada pemimpin tertinggi nasional untuk terus mengukuhkan dan membangunkan parti melalui penubuhan bahagian-bahagian serta cawangan-cawangan.

Jafri turut menegaskan Bersatu di Sarawak bersedia berganding bahu bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan Sarawak untuk menghadapi PRN12 Sarawak.

Mesyuarat juga telah melantik Jafri sebagai ketua BPN, Abdul Rahman Mohamad (timbalan BPN), Ibrahim Mohamad (setiausaha negeri), Wan Yusuf Ascar Wan Alwi (bendahari negeri), Duke Janteng (ketua penerangan negeri), Sara Undin (ketua Sayap Srikandi negeri) dan Alexander Frusis sebagai ketua Sayap Armada negeri.

Pada mesyuarat ini juga biro-biro telah ditubuhkan dan ketua-ketua biro telah dipilih dalam kalangan 26 orang ketua bahagian yang hadir. — DayakDaily