Bersatu hati dalam usaha bangunkan daerah Lundu — Jamilah Anu

Jamilah (tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para peserta perarakan.

Oleh Dean Adam

LUNDU, Jun 22: Masyarakat di kawasan Tanjong Datu diminta supaya terus bekerjasama dan bersatu hati dalam membangunkan daerah Lundu yang kini semakin dikenali ramai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, berkata penduduk setempat turut memainkan peranan penting dalam membantu mempromosi pelbagai lokasi pelancongan menarik di daerah berkenaan kepada pengunjung domestik mahu pun dari luar negara.


Jelasnya, pendekatan itu penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi yang positif di daerah Lundu khususnya.

Jamilah merakamkan gambar kenangan bersama para peserta perarakan.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan Lundu agar menjadi daerah yang terkenal.

“Jangan biarkan orang luar memecah belahkan kita. Kita harus sayangkan Lundu dan Sarawak amnya,” katanya dalam Majlis Perarakan dan Rumah Terbuka Gawai 2019 di Town Square Lundu malam tadi.

Perarakan tersebut telah disertai oleh seramai 3,000 peserta dari 17 kontijen yang bermula dari Mini Stadium Lundu dan berakhir di Town Square Lundu.

Dalam pada itu, beliau berasa bangga dengan kejayaan penganjuran perarakan yang  mencatat sejarah julung kali diadakan dengan penyertaan yang begitu ramai.

“Jadi, saya berharap program sama akan diteruskan pada tahun akan datang dengan lebih ramai peserta menyertainya,” katanya. — DayakDaily