KUCHING, 15 Ogos: Sebagai sebuah negara yang majmuk, Malaysia amat memerlukan keharmonian dan kerukunan hidup antara satu sama lain.
Justeru, rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan budaya semestinya dipertahan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat, kata barisan ketua Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan media hari ini.
“Kami percaya rakyat Malaysia kesemuanya cintakan keamanan dan keharmonian untuk terus bersama menikmati hidup dalam suasana aman.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyahut seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melipatgandakan usaha untuk memastikan negara kita yang tercinta ini akan terus kekal sebagai sebuah negara yang makmur, dihormati dan disegani oleh semua,” kata kenyataan tersebut.
Keempat-empat ketua parti Pakatan yang membuat kenyataan tersebut ialah presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiausaha agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Guan Eng dan presiden Amanah Mohamad Sabu.
Jelas mereka, mutakhir ini pelbagai isu menjadi perbualan rakyat Malaysia – dari cabaran ekonomi kepada persoalan persepsi kaum atau agama, pendidikan khat dan isu pembangunan amnya. Rakyat Malaysia kini jelas lebih mudah menyuarakan pandangan melalui media sosial mahupun media arus perdana.
“Tatkala kita bakal menyambut Hari Merdeka ke-62 dan Hari Malaysia ke-56 tahun ini, seharusnya kita mengambil kesempatan yang ada untuk bermuhasabah akan kejayaan yang telah kita capai bersama serta cabaran-cabaran yang masih perlu ditempuhi demi membina sebuah negara yang bersih, adil dan berjaya.
“Apa yang rakyat Malaysia nikmati pada hari ini sudah pasti akan dapat terus dinikmati bila masa rakyat terus bersatu padu, mengukuh muafakat, serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menegak negara hukum.
“Semua rakyat Malaysia, tidak kira pangkat mahupun latar belakang, perlu sentiasa memupuk perpaduan dan meningkat persefahaman sesama kita,” kata mereka.
Mereka juga menyeru semua lapisan masyarakat agar mengenepikan retorik yang merosakkan perpaduan.
“Kita perlu sanggah polemik yang berniat membinasakan negara. Kita perlu menolak politik yang hanya mementingkan kelompok kecil dan bukannya kemaslahatan umum.
“Kita perlu terus yakin bahawa membina negara adalah usaha yang memerlukan iltizam yang kukuh, niat yang ikhlas, kepercayaan yang tinggi terhadap masyarakat itu sendiri, dan wawasan yang jelas untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat ke tahap yang lebih tinggi,” kata mereka. — DayakDaily