Berpantang maut sebelum ajal, pemandu selamat dalam kebakaran kereta

Kelihatan api sedang marak membakar sebuah kereta.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 8: Berpantang maut sebelum ajal.

Begitulah yang terjadi kepada seorang pemandu kereta apabila dia terselamat selepas kenderaan dipandunya tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian di Jalan Semaba di sini malam tadi.

Advertisement

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Arisa Arshad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.55 malam.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan tujuh anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak sebuah kereta Daihatsu Charade.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Arisa menambah, operasi pemadaman terus dilakukan dengan menggunakan satu aliran saluran bantu mula air dari tangki jentera sehingga api dapat dikawal dan padam sepenuhnya.

Katanya, kebakaran tersebut telah memusnahkan 100 peratus kenderaan tersebut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.31 malam,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement