Berpantang maut sebelum ajal, pasangan suami isteri selamat selepas kereta rempuh pokok

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta.
Advertisement

KUCHING, Jan 17: Berpantang maut sebelum ajal.

Itulah yang berlaku ke atas sepasang suami isteri yang terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Bako di sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.42 petang.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima laporan insiden tersebut, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kemalangan.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna merah telah merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mangsa masih dalam tersepit dalam kereta itu sebelum pasukan bomba bertindak mengeluarkan mereka dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, selepas berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa lelaki mengalami kecederaan pada bahagian bawah lututnya.

Manakala ujarnya, isterinya pula patah pada bahagian paha kiri.

“Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 6.45 petang,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement