SARIKEI, Mac 9: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang berlaku ke atas dua wanita selepas mereka terselamat dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Simpang Selalang di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan kereta Perodua Kancil.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Suna Kaha berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kemalangan itu.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati kedua-dua mangsa dalam keadaan tersepit.
“Mangsa yang tersepit dalam Perodua Kancil itu dikenal pasti sebagai Farawaheeda Daili, 33, dan Nor Azmah Keprawi, 37.
“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Suna menambah, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sarikei untuk tindakan lanjut.
“Pemandu Toyota Hilux dan seorang penumpang turut mengalami kecederaan ringan,” katanya lagi. — DayakDaily