KUCHING, Mei 6: Rakyat negeri ini harus memastikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sekali lagi menguasai tampuk pimpinan negara bagi meneruskan keseinambungan pembagunan yang sedia ada.
Calon BN bagi kawasan Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru rakyat di negeri ini khususnya di Parlimen Petra Jaya untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan BN memperoleh kemenangan besar pada hari tersebut.
“Pastikan BN menang besar agar lebih banyak kerusi menang. Kalau kita menang banyak kerusi maka akan banyak wakil di Dewan Rakyat dari negeri kita.
“Apabila ramai wakil dari negeri ini, maka kita akan menjadi parti kedua paling ramai di Parlimen selepas UMNO,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya menyatakan kemenangan besar semasa PRU14 dari negeri ini akan menjadi mesej kepda kerajaan pusat.
“Ia akan menjadi tanda kepentingan negeri ini dan saya selaku wakil dari Parlimen akan memastikan kawasan Petra Jaya menjadi sebuah kawasan Parlimen yang hebat di Malaysia,” ujarnya. — DayakDaily