Berdakwah menerusi aplikasi baharu, kata Abang Johari

Abang Johari (tiga dari kanan) pada Perasmian Riseap di Kuching

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menggesa umat Islam di rantau ini berdakwah menerusi media sosial.

Katanya, terdapat banyak aplikasi baharu yang boleh digunakan untuk berhubung diantara satu sama lain.


“Di dalam dunia teknologi masa kini, jarak fizikal yang jauh di antara satu sama lain bukan lagi penghalang untuk kita saling berhubung.

“Aplikasi seperti email, Telegram, WhatsApp dan TikTok serta YouTube dan yang lain-lain menghubungkan kita dengan mudah walaupun kita berada di Jepun sehingga ke bahagian selatan, New Zealand,” katanya.

Abang Johari berkata demikian di Perasmian Perhimpunan Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara Dan Pasifik (Riseap) ke-19 di sini, hari ini.

Justeru, tambah beliau, umat Islam juga seharusnya menggunakan teknologi baharu ini sebaik mungkin.

Selain dakwah, ujar Abang Johari, pemikiran baharu Islam juga boleh disebarkan menggunakan semua aplikasi tersebut.

“Dalam masa kita menghargai pendekatan lama, kita tidak seharusnya mengabaikan platform baharu dalam usaha untuk berhubung diantara satu sama lain.

“Kita mesti menggunakan aplikasi moden ini dalam mendekati generasi baharu,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari meramalkan bahawa dalam masa terdekat, orang ramai akan menggunakan teknologi hologram dalam mesyuarat.

Katanya, dalam beberapa tahun dari sekarang, hologram iaitu kaedah futuristik untuk memaparkan imej menggunakan cahaya bagi membentuk objek 3D akan digunakan, seperti di Korea Selatan. — DayakDaily