Berang selepas ditegur, warga emas tunjuk senapang ditahan

Suspek (tiga dari kanan) ditahan untuk tindakan lanjut.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 6 Ogos: Tindakan seorang lelaki membuat ugutan jenayah terhadap seorang pengawal keselamatan Klinik Kesihatan Tudan pada Khamis (5 Ogos) dengan menunjukkan objek menyerupai senapang mengundang padah selepas dia ditahan di rumah di RPR Batu 6, Jalan Pujut -Lutong pada hari yang sama, kurang tiga jam selepas kejadian.

Pada hari kejadian, sekitar jam 2 petang itu, suspek berusia 61 tahun telah ditegur pengadu kerana meletakkan keretanya di kawasan yang tidak sepatutnya , iaitu di depan bangunan Klinik kesihatan tersebut.

Advertisement

Terdahulu, suspek telah memandu keretanya ke klinik berkenaan kerana hendak menghantar isterinya untuk mendapatkan rawatan, namun, telah ditegur pengawal keselamatan yang bertugas kerana meletakkan kereta di kawasan yang tidak sepatutnya.

Berang dengan teguran tersebut, suspek telah mengajak pengawal keselamatan tersebut bertumbuk tetapi pengadu tidak mengendahkan dan berlakulah pertengkaran mulut antara pengadu dan suspek.

Selepas itu suspek terus beredar dari situ.

Namun, sekitar jam 3 petang, suspek tersebut telah datang semula ke pondok depan klinik kesihatan tudan tempat pengadu berkerja dan menuju ke arahnya yang sedang bertugas di pondok pengawal keselamatan tersebut sambil menunjukkan satu objek berupa senapang ‘pump gun’ dan berkata dalam Bahasa Iban (bersepai pala nuan lagik atau berkecai kepala kau nanti) dan selepas itu terus beredar dari situ.

Bimbang akan keselamatan dirinya, pengawal keselamatan terbabit telah membuat satu laporan polis.

Susulan dari laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek di kediamannya sekitar jam 6 petang hari yang sama untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas adalah selaras senapang semi-auto milik suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily

Advertisement