Berang kerana putus cinta, bekas teman lelaki ugut mahu bunuh diri

Royal Malaysia Police logo

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 30 Jun: Berang bekas teman wanita memutuskan hubungan cinta, seorang lelaki nekad menghantar gambar ugutan.

Satu laporan polis telah dibuat oleh wanita terbabit yang bekerja sebagai tukang kasut selepas menerima teks dan gambar “tali gantung” dari bekas teman lelakinya itu pada petang Isnin (Jun 29).


Enggan menerima hakikat hubungan mereka berakhir, bekas teman lelaki pengadu bertindak menghantar gambar tersebut beserta teks menyatakan ingin membunuh diri kepada pengadu.

Bimbang, pengadu, berusia 23 tahun itu telah membuat satu laporan polis.

Dalam satu kes berasingan, polis telah menahan seorang lelaki di Kampung Tiris Bekenu selepas bertindak menyerang abang kandung dan kakak iparnya dengan sebilah parang pada petang Ahad (Jun 28).

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Tiris Bekenu pada petang Ahad sekitar jam 6.10pm.

Suspek dikatakan tiba-tiba datang ke rumah keluarganya dengan membawa sebilah parang.

Setibanya suspek ke rumah tersebut, suspek telah cuba membuka beg milik ibunya sebelum dihalang abang dan kakak iparnya.

Satu laporan polis telah dibuat oleh abang suspek selepas kejadian dan bertindak atas laporan tersebut, polis telah menahan suspek pada malam Isnin (29 Jun) untuk siasatan lanjut. — DayakDaily