‘Bendung gejala sosial dengan sertai aktiviti sukan’

Robert (berdiri tiga dari kanan) bersama penganjur di perasmian Kejohanan Tertutup Sepak Takraw Piala MP Lubok Antu.

KUCHING, Mei 6: Pasukan SRT muncul juara Kejohanan Sepak Takraw tertutup Piala Ahli Parlimen P 203 Lubok Antu Jugah Muyang anjuran Belia Nanga Sumpa semalam.

Kejohanan selama dua hari yang diadakan di Gelanggang Takraw SMK Lubok Antu disertai 24 pasukan.

Selaku juara SRT meraih wang tunai RM500, piala dan pingat manakala naib juara pasukan R.P.R.A mendapat hadiah wang tunai RM300, piala dan pingat.


Pasukan YahWeh muncul tempat ketiga dan meraih wang tunai RM250, piala dan pingat manakala pasukan The Panthe Moon di tempat ke empat dengan hadiah saguhati RM100.

Hadir merasmikan kejohanan tersebut ialah Pegawai Khas kepada MP Lubok Antu, Robert Lingga di mana beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Kejohanan diadakan selaras dengan aspirasi Jugah yang komited memupuk minat belia dalam aktiviti sukan di Daerah Lubok Antu ke tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, kejohanan juga diadakan untuk melibatkan golongan belia dalam aktiviti sukan bagi membantu membendung gejala sosial dan menghindari mereka terjebak dengan kegiatan yang tidak berfaedah.

Pada masa sama, ia diharap menjadi landasan mengeratkan semangat toleransi dan kerjasama antara masyarakat terlibat sama dalam penganjuran itu. — DayakDaily