Belia Kapit diminta ambil peluang dalam bidang eko-pelancongan

Abdul Karim (kiri) menjawab soalan para belia Kapit pada sesi Town Hall.
Advertisement

KAPIT, 5 Sept: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Bahagian Kapit memiliki banyak khazanah alam semulajadi yang sesuai dibangunkan untuk bidang eko-pelancongan.

Justeru, Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menyeru para belia di Kapit mengambil peluang dengan kelebihan tersebut.

Katanya, dengan terbinanya jalan penghubung Sibu ke Kapit nanti, pembangunan dalam bentuk pembinaan infrastruktur akan terus rancak dilaksanakan kerajaan di Kapit.

Advertisement

“Kapit sekarang semakin membangun. Selepas bulan Oktober nanti, jalan penghubung dari Sibu ke Kapit akan siap dibina.

“Kawasan ini akan berubah dan para belia harus bersedia menghadapinya selain merebut peluang yang ada.

“Kapit berpotensi untuk dibangunkan menjadi salah satu kawasan tarikan pelancong khususnya bidang eko-pelancongan,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Jelajah Belia Sarawak 2020@Bukit Goram di Dewan Suarah Kapit hari ini.

Abdul Karim (empat dari kanan) pada Majlis Jelajah Belia Sarawak@Bukit Goram Turut Kelihatan Snowdan (tiga dari kanan) dan Jefferson (empat dari kiri).

Menurut Abdul Karim lagi, potensi dalam bidang eko-pelancongan ini pada satu hari nanti akan membuka peluang kerjaya kepada para belia di Kapit.

Tambah beliau, mereka boleh memilih kerjaya untuk menjadi pemandu pelancong atau melibatkan diri dengan bidang keusahawanan yang berhubung kait dengan eko-pelancongan.

“Kapit adalah satu daripada kawasan yang masih memiliki alam semulajadi yang indah. Kita bangunkan eko-pelancongan disini dan ini membuka peluang kerjaya kepada para belia.

“Kawasan ini adalah pintu masuk ke kawasan pendalaman yang indah dan pelancong-pelancong dari luar ingin menikmati keindahan alam ini,” ujar Karim.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para belia agar sentiasa menolak unsur-unsur negatif yang sering muncul kesan pembangunan.

Jelas beliau, di dalam keselesaan ini muncul juga unsur-unsur tidak baik seperti masalah pengedaran dan ketagihan dadah dan ini berlaku dimana-mana sahaja.

“Dengan ativiti pembangunan di Kapit, kita berharap para belia menjauhi budaya-budaya yang tidak baik yang boleh menganggu program pembangunan kerajaan,” katanya.

Berhubung program Jelajah Belia Sarawak 2020 yang dianjurkan, Abdul Karim berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendekati para belia selain mendengari aspirasi mereka.

Menurut beliau, golongan belia bakal menjadi pemimpin di masa hadapan dan adalah mustahak bagi Sarawak melahirkan  pemimpin yang baik dan bertanggungjawab.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat.-DayakDaily

Advertisement