Belia dinasihatkan berhati-hati menerima tawaran kerja lumayan di negara lain

Muhammad Hazim Azhari

KUCHING, Feb 15: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak menasihatkan belia di negeri ini supaya berhati-hati menerima tawaran bekerja di negara lain yang keadaan eknominya lebih mundur dari Malaysia.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Muhammad Hazim Azhari berkata ini terutamanya sekiranya mereka ditawarkan gaji yang tinggi sekiranya bekerja di negara terbabit kerana dikhuatiri tawaran itu hanya umpan sindiket pemerdagangan manusia.

“Mereka yang mahu bekerja di luar negara kerana ditawarkan gaji yang lumayan harus fikir dahulu dan berbincang bersama keluarga. Tetapi kalau kita fikirkan secara logiknya atas dasar apa kita hendak pergi ke Kemboja atau negara yang kita tahu lebih susah (keadaan ekonominya) berbanding Malaysia,” katanya ketika menghadiri Kolokium Kepimpinan Belia anjuran ABIM Negeri Sarawak dan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Jalan Tun Zaidi Adruce, di sini, semalam.


Muhammad Hazim sehubungan itu menasihatkan belia di negeri ini supaya memastikan terlebih dahulu kesahihan pekerjaan bergaji besar yang telah ditawarkan kepada mereka di negara terbabit sebelum mereka ke sana.

“Ini kerana menerima tawaran bekerja di luar negara adalah berbeza dengan melanjutkan pelajaran di luar negara,” katanya.

Beliau demikian mengulas kejadian penahanan seramai 47 rakyat Malaysia di Kemboja sejak Disember 11 lalu, selepas diumpan dengan janji manis gaji lumayan dipercayai didalangi sindiket pemerdagangan manusia.

Daripada 47 rakyat negara ini yang ditahan, 44 daripadanya adalah anak muda Sarawak, berasal daripada keluarga miskin dari setiap pelusuk negeri ini, termasuk membabitkan belia Melayu, Iban dan Melanau.

Sebahagian besar yang ditahan adalah anak muda seawal usia 19 tahun hingga 44 tahun, gara-gara termakan dengan taktik licik sindiket yang menjadikan kumpulan masyarakat daripada keluarga miskin di luar bandar sebagai sasaran utama. — DayakDaily