Belia digesa ceburi bidang ‘coding’, ‘programming’ untuk bangunkan ekonomi digital

Mohd Ashree dua kanan melawat gerai yang terdapat di jelajah Pro-DR 2019.
Advertisement

SRI AMAN, 29 Mac: Belia di negeri ini diseru untuk menguasai kemahiran teknikal seperti “coding” atau “programming” yang penting untuk membangunkan aplikasi di dalam ekonomi digital.

Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan berkata belia-belia yang berminat di dalam kemahiran digital tidak harusnya sekadar mengikuti kursus kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), tetapi juga mengikuti kursus berkaitan coding atau programming.

Kemahiran ini amat berguna bagi mengaktifkan robot mahupun drone, kecerdasan buatan atau membangunkan pelbagai “apps” (aplikasi) yang memudahkan gaya hidup manusia, katanya.

Advertisement

“Kemahiran baru itu penting kerana ketika ini, robot sudah banyak mengambil kerja yang dilakukan manusia seperti pelayan tetamu, menjahit, membedah, menyediakan draf lukisan arkitek, mencampur bahan ubatan dan banyak lagi.

“Sedikit masa nanti, manusia akan meminta nasihat daripada robot tentang penyakit yang manusia hadapi,” katanya ketika merasmikan jelajah Project Of Dreams Realized (Pro-DR) 2019 anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) di sini, hari ini.

Teks ucapannya telah dibaca oleh Pegawai Daerah Sri Aman Mohd Ashree Wee.

Mohd Ashree (dua kanan) merasmikan jelajah Pro-DR 2019.

Snowdan, yang merupakan bendahari TEGAS, berkata penggunaan drone semakin penting dan banyak digunakan untuk pelbagai perkara terutamanya untuk mengambil gambar atau video.

Drone boleh mengambil gambar yang sukar dilakukan manusia dan juga penting dalam bidang pertanian seperti digunakan untuk menyemai benih, menyembur air, baja, racun serangga dan menentukan masa tepat untuk menuai hasil.

Selain itu, kecerdasan buatan pula membolehkan kapal terbang dikemudikan juruterbangnya ketika berlepas dan mendarat sahaja dan yang lain semuanya secara automatik. Sedikit masa lagi, akan ada kereta tanpa pemandu di jalan raya, katanya.

“Sekarang kita hanya perlu menggunakan aplikasi seperti Grab untuk (pemandunya) mengambil kita di rumah dan untuk ke mana-mana. Ini berbeza daripada zaman terdahulu, di mana penumpang perlu mencari atau menunggu teksi di stesen teksi.”

Pelbagai mainan robot dan drone yang disediakan kepada pelajar di jelajah Pro-DR 2019.

Tambahnya, sekarang orang ramai juga membeli buku secara atas talian mengunakan applikasi seperti Amazon, membeli pakaian melalui aplikasi seperti Lazada, menghantar wang, membayar bil elektrik dan kad kredit melalui aplikasi yang berkaitan.

Disamping itu pembangunan aplikasi juga penting kerana kerajaan Sarawak telah menjadikan ekonomi digital sebagai strategi membangunkan Sarawak.

Beliau berkata bahawa pada tahun 2025, ekonomi digital mampu menyumbang sebanyak 17.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak.

Selain itu, beliau meminta belia di negeri ini terutama yang masih bersekolah supaya mengambil jurusan Sains, kerana Sains memberi pilihan yang lebih luas samada ada dalam bidang akademik dan kerjaya.

Pelajar dan golongan belia harus mengikis anggapan yang Sains itu adalah matapelajaran yang sukar, tambah beliau. — DayakDaily

Advertisement