Belanjawan Sarawak 2025: Peruntukan RM6.8 bilion untuk pembangunan luar bandar

File photo for illustration purpose only. Photo credit: Pixabay
Advertisement

KUCHING, 11 Nov: Belanjawan Negeri 2025 memperuntukan RM6.8 billion kepada program pembangunan luar bandar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bersamaan 62 peratus daripada peruntukan keseluruhan perbelanjaan pembangunan RM10.9 bilion.

“Membawa banyak lagi pembangunan ke kawasan luar bandar adalah keutamaan kita.

Advertisement

“Kita ingin memastikan rakyat di kawasan luar bandar turut menikmati pembangunan seperti di bandar,” katanya semasa membentangkan cadangan Belanjawan Sarawak 2025 pada hari pertama Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) Ke-19 hari ini.

Tambah Abang Johari, sejumlah RM1 bilion diperuntukan bagi melaksana dan menyiapkan beberapa projek jalanraya dan projek jambatan.

Antaranya pembinaan Jalan Batu Kawa-Jalan Stephen Yong di Kuching, Jalan Ulu Sungai Merah-Jalan Tunku Abdul Rahman di Sibu, dan naik taraf Jalan Utama Pekan Lapok ke Gejong Long Teran Batu, Tinjar di Miri, projek Jalan Nanga Ibau-Ulu Sungai Ibau di Kapit, Jalan Serian-Gedong-Samarahan, Jalan Nanga Kesit-Ulu Lemanak-Engkari, Lubok Antu di Sri Aman, dan Jambatan Sungai Limbang.

“Menerusi dana alternatif pula, sejumlah RM4 bilion diperuntukkan pada tahun depan bagi pelaksanaan projek infrastruktur semasa dan baharu.

“Antaranya Jalan Pesisir Sarawak, projek Jalan Utama Kedua, Jalan Sultan Tengah ke Jambatan Santubong, Lebuhraya Pesisir Utara, Jalan Miri-Marudi, Marudi-Mulu dan Long Panai-Long Lama, Jalan Gedong ke Kampung Samalatong dan Gedong-Serian Expressway,” katanya.

Sementara itu Abang Johari memaklumkan sejumlah RM352 juta diperuntukkan dalam Bajet 2025 bagi projek bekalan air.

Ujar beliau, sejumlah RM452 juta pula diperuntukan menerusi dana alternatif bagi pelaksanaan projek bekalan air.

“Manakala bagi bekalan elekrik, sejumlah RM56 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan projek termasuk projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Sejumlah RM170 juta pula diperuntukkan di bawah dana alternatif, iaitu RM150 juta bagi pelaksanaan projek bekalan elektrik luar bandar dan RM20 juta bagi inisiatif Projek Pemohon Tambahan atau Lewat (ALAF)

“Sarawak kini telah mencapai 99 peratus capaian bekalan elektrik, ” kata Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement