KUCHING, 15 Oktober: Peruntukan RM30 juta dari Belanjawan 2020 untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan harus digunakan dalam kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ahli Parliman Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii, berkata R&D itu penting untuk membantu memadamkan kebakaran hutan atau belukar dengan efektif.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan dengan memperuntukkan RM30 juta untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan yang kronik dan mempunyai kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat kita.
“Saya juga menyambut baik hasrat Kementerian (Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) untuk menggubal satu Akta Jerebu Rentas Sempadan untuk menguatkuasa dan mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat tempatan yang terlibat dalam pembakaran terbuka atau pencemaran,” katanya pada ucapan bahas Belanjawan 2020 di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Namun, akta seperti Akta Jerebu Rentas Sempadan di Singapura mempunyai banyak batasan, kata Dr Yii.
Mengikut data yang diberikan melalui pantauan satelit, 73,508 kes kebakaran terbuka di Indonesia dan Malaysia hanya melibatkan 0.38 peratus syarikat yang memiliki pensijilan industri di bawah Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), tambah beliau.
“Maka, syarikat-syarikat besar semuanya memiliki pensijilan RSPO yang hanya menyumbang 0.38 peratus titik panas yang dikenal pasti. Dengan adanya akta memang bagus tapi tidak cukup untuk menyelesaikan permasalahan dengan berkesan,” katanya.
Oleh yang demikian, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian apakah langkah-langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah ini secara komprehensif dan efektif.
Tegas beliau, peruntukan tersebut haruslah digunakan dalam R&D untuk memadamkan api secara efektif dan sekaligus menangani isu ini.
Mengulas keseluruhan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lepas (11 Oktober), Dr Yii menyifatkan ia mempunyai hala tuju yang baik terutamanya untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda dan juga wanita.
“Ia juga membina satu ekosistem untuk perkembangan ekonomi digital termasuk (teknologi) 5G di negara kita dalam persediaan untuk menghadapi Industri 4.0. Belanjawan berlandaskan pelan hala tuju tiga tahun kerajaan persekutuan untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan fiskal.
“Ia akan memulihkan kesihatan ekonomi negara meskipun ketidakpastian yang ditimbulkan oleh perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang telah mengorientasikan rantaian bekalan global secara kekal,” katanya.
Tambah Dr Yii lagi, belanjawan yang baik bukan sahaja bergantung kepada jumlah peruntukan yang ada, tetapi bagaimana dan mana ia diagihkan dan juga perlaksanaan belanjawan tersebut. — DayakDaily