Oleh Cornelius Kadir Edison
KUALA LUMPUR, 6 Nov: Bantuan tunai yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) akan diteruskan dan di tambah baik secara lebih bersasar.
Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, secara keseluruhan pemberian bantuan tunai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tersebut dijangka akan memanfaatkan 8.1 juta rakyat di negara ini dengan peruntukan berjumlah RM6.5 bilion.
Katanya, bagi tahun 2021, BSH akan digantikan dengan BPR dengan kadar bantuan antara RM350 hingga RM1,800 berdasarkan kategori pendapatan isi rumah terlibat.
“Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200 manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800.
“Isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000 dan mempunyai seorang anak akan menerima bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini
Tengku Zafrul berkata, kumpulan isi rumah yang mempunyai pendapatan RM4,001 hingga RM5,000 akan turut diberikan bantuan tunai menerusi BPR pada tahun hadapan.
“Kategori ini akan menerima RM5,00 bagi yang mempunyai seorang anak dan bantuan RM750 kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih,” katanya.
Beliau berkata, individu bujang yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah juga tidak ketinggalan.
Had umur kelayakan individu bujang juga katanya akan diturunkan kepada 21 tahun berbanding syarat sebelum ini iaitu 40 tahun.
“Sebagai tambahan, kerajaan turut memperuntukkan RM1.5 bilion bagi melaksanakan Program Jaringan Prihatin bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapat kemudahan internet dengan lebih kurang 8 juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 dalam bentuk kredit telekomunikasi bermula suku pertama 2021.
“Pada masa sama, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma,” katanya. — DayakDaily