Bekas Mufti Sarawak cedera, kereta dinaiki terlibat kemalangan

Keadaan cermin kereta yang pecah.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 18: Seorang bekas Mufti Sarawak cedera selepas kereta yang dinaiki bersama anaknya terlibat dalam kemalangan di Jalan Matang-Kubah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi itu, mangsa yang berusia 70 tahun cedera di muka dan telinga akibat terkena serpihan cermin depan kereta yang pecah.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah jentera berat jenis Kobelco.

Jelasnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta yang dinaiki mangsa bersama anaknya datang dari arah Matang ke pusat bandar raya ini.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah jentera berat yang sedang mengangkat bahan pembinaan telah terlepas ikatan lalu terkena cermin kereta yang dinaiki mangsa.

“Selepas kejadian itu, mangsa dikatakan tidak sedarkan diri akibat kecederaan yang dialami, manakala anaknya yang juga pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, pemandu kenderaan berat terbabit juga tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.

“Kes ini disiasat di bawah Kaedah 19 LN 166/59,” katanya. — DayakDaily