Bekalan daging babi di Miri dari sumber dibenarkan — Dr Rundi

Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom. Photo credit: Ukas
Advertisement

KUCHING, 20 April: Sampel daging babi dari rumah sembelih di luar premis yang dibenarkan di Miri adalah dari sumber yang dibenarkan.

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, ia hasil siasatan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri.

“Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri ada menerima beberapa aduan berkenaan penyembelihan babi di luar premis yang dibenarkan sejak penutupan rumah sembelih babi di Krokop, Miri.

Advertisement

“Pemantauan dan persampelan ke atas premis-premis ini telah dilaksanakan dan hasil siasatan tersebut menunjukkan daging-daging ini diperolehi secara sah dari sumber yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr Rundi, mengikut Seksyen 62 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, penyembelihan perlu dilakukan di premis yang dilesenkan oleh Penguasa Veterinar Negeri.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati mengingkari seksyen tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kenyataan itu, Dr Rundi berkata jabatan pada ketika ini membenarkan pergerakan daging babi dari Sibu, Samarahan dan Kuching bagi menampung permintaan di Bahagian Miri.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa rumah sembelih babi di Krokop mungkin akan dibuka lebih awal.

“Ini sekiranya ianya telah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dan mendapat kelulusan dari Jabatan Veteriner Sarawak,” ujar beliau.

Dr Rundi juga memaklumkan bahawa bekalan daging yang ada dipasaran adalah selamat untuk dimakan dan bekalan adalah mencukupi bagi perayaan Gawai Dayak yang akan datang. — DayakDaily

Advertisement