Bazar Gawai Dayak Sarawak catat rekod keseluruhan RM2.37 juta

Henry (tiga dari kiri) di majlis penangguhan acara di MJC. Turut kelihatan Dr Jerip (dua dari kiri).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Mei: Jumlah keseluruhan RM2.37 juta berjaya dicatatkan dari hasil jualan Bazar Gawai Dayak Sarawak tahun ini sepanjang berlangsungnya acara dari 16 hingga 26 Mei.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep berkata, ia adalah satu pencapaian hebat yang mengatasi rekod hasil jualan bagi penganjuran tahun lalu.

Advertisement

“Ini merupakan rekod jualan tertinggi pernah dicatatkan.

“Secara purata hasil jualan pada setiap hari dalam lingkungan lebih RM100,000 dan lebih RM200,000.

“Hari terakhir (semalam) merekodkan jualan tertinggi dengan angka lebih RM315,000.

“Terima kasih kepada semua yang telah menjayakan bazar tahun ini,” kata Henry yang juga Pengerusi Acara Tonggak Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 ketika dihubungi hari ini.

Majlis penangguhan Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024 sempena Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri di MJC Batu Kawa pada malam tadi telah disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil.

Tambah Henry yang juga Adun Tasik Biru, hasil jualan penganjuran Bazar Gawai Dayak Sarawak pada tahun 2022 dan 2023 ialah RM700,000 dan RM900,000.

Sementara itu, Dr Jerip dalam ucapan penangguhan mengucapkan syabas kepada Henry selaku Pengerusi Acara Tonggak Bazar Gawai Dayak Sarawak 2024.

“Syabas juga kepada usahawan kita dan Jabatan Pertanian Sarawak selaku jawatankuasa yang mengurus gerai-gerai jualan di acara Bazar Gawai Dayak Sarawak tahun ini,” kata Dr Jerip.

Sebanyak 180 gerai yang menjual makanan dan minuman, kraf tangan, perkhidmatan termasuk menjahit, dan produk perhiasan seperti manik dibuka sepanjang berlangsungnya acara ini.

Bazar Gawai Dayak pada tahun 2025 bakal dianjurkan oleh komuniti Orang Ulu. — DayakDaily

Advertisement