This Content Is Only For Subscribers
SELANGAU, 5 Jun: Seramai lima orang termasuk seorang bayi lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Batu 40 Jalan Sibu-Bintulu hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu Perodua Myvi dengan Kia Sportage dilaporkan berlaku sekitar jam 10.10 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, didapati Perodua Myvi dinaiki lima orang, di mana terdapat seorang wanita dewasa tersepit di bahagian penumpang hadapan dan telah disahkan meninggal dunia.
“Seorang lagi mangsa dari Perodua Myvi iaitu bayi lelaki berusia 2 tahun juga disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Selangau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Manakala tiga lagi mangsa iaitu lelaki dewasa yang menaiki kereta Kia Sportage juga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tiga lagi mangsa dari Perodua Myvi dan dua mangsa dari Kia Sportage telah dikejarkan ke Klinik Selangau untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Alicesha Bathrish Langi, 24 tahun, dan anaknya Allesandro Collin Steward,2 tahun.
Dua lagi mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Marcos Marican, 26 tahun, dan bapanya Marican@Langkan Legi berusia 61 tahun.
Seorang lagi mangsa yang maut menaiki Kia Sportage masih belum dikenal pasti identitinya semasa berita ini ditulis.
Kesemua mayat mangsa telah dihantar ke Klinik Selangau untuk tindakan selanjutnya.
Hadir sama di lokasi kejadian anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). — DayakDaily