Bayi empat bulan maut selepas lebih 48 jam bertarung nyawa

Beginilah keadaan kemalangan melibatkan Toyota Vios dan Nissan Navara.
Advertisement

KUCHING, Feb 4: Selepas lebih 48 jam bertarung nyawa setelah terlibat dalam kemalangan di KM77, Jalan Kuching-Sri Aman pada Jumaat lalu, seorang bayi lelaki berusia empat bulan disahkan meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak di sini hari ini.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Bingkok John berkata, mangsa, Alvis Liaw Teck Lee, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi.

Menurut beliau, dalam kemalangan tersebut Jumaat lalu, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dinaiki mangsa bersama keluarganya telah bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios.

Advertisement

“Semasa kejadian, mangsa bersama keluarganya dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Kuching dari arah Sri Aman.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, sebuah kereta Toyota Vios dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Navara yang dipandu bapa mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bingkok menambah, rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan tersebut remuk di bahagian depan.

Katanya, kemalangan tersebut juga menyebabkan dua penumpang cedera parah.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement