Bayaran fasa kedua BPN2.0 bermula 21 Januari

File photo for illustration purposes
Advertisement

KUCHING, 13 Jan: Bayaran fasa kedua Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) kepada 11.06 juta penerima akan dibuat mulai 21 Januari ini.

Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran akan terus dikreditkan ke akaun penerima B40 pada 21 Januari.

Manakala bagi penerima M40, bayaran akan dikreditkan ke akaun penerima pada 25 Januari.

Advertisement

“Penerima tanpa akaun bank boleh menuntut wang pembayaran di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Tengku Zafrul, bagi penerima di Sabah dan Sarawak yang tanpa akaun bank, pembayaran akan dibuat mulai awal Februari sehingga 1 April.

Katanya, lokasi tuntutan wang bakal diumumkan pada akhir bulan Januari.

Menurut beliau lagi, jumlah penerima BPN 2.0 adalah merangkumi 11.06 juta yang terdiri daripada 5.82 juta individu bujang dan 5.24 juta penerima isi rumah.

Setakat ini, jumlah bayaran adalah sebanyak RM7.18 bilion. — DayakDaily

Advertisement