Bawang Assan, apa sudah jadi?

Keadaan mundur di kawasan DUN Bawang Assan.

Iklan rencana

TERLETAK kurang satu kilometer atau hanya seberang Batang Igan namun keadaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan nampak berbeza dengan ‘jiran sebelah’ iaitu DUN Nangka dan DUN Dudong.

Keadaan di Bawang Assan lebih mundur walaupun pada dasarnya kawasan itu begitu dekat dengan bandar Sibu dan boleh dihubungi melalui jalan air atau darat.


Di manakah silapnya sehingga kawasan yang begitu dekat dengan bandar menjadi begitu ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur asas?

Malah ada sesetengah kawasan masih bergantung kepada sumber air hujan dan air sungai sebagai sumber air untuk keperluan harian dan generator sebagai sumber bekalan elektrik.

Menyedari hakikat itu, Pengerusi Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Senator Robert Lau berusaha untuk merapatkan jurang pembangunan untuk penduduk di kawasan tersebut.

Senator Robert Lau
Source: Sarawak Public Communications Unit (Ukas)

Sudah 30 tahun

Pada peringkat awal, usaha dilakukan untuk menyediakan sumber bekalan air terawat dan bersih serta bekalan elektrik ke kawasan rumah panjang yang masih lagi bergantung kepada generator untuk menjana tenaga elektrik.

“Saya selalu bandingkan Bawang Assan dengan Sibu Jaya di bawah DUN Dudong dari segi pembangunan yang dilaksanakan di kawasan itu.

“Tiga puluh tahun lalu, Sibu Jaya adalah sebuah kawasan hutan tebal, sekarang Sibu Jaya ada 6,000 buah rumah dan 400 buah premis kedai di kawasan bandar itu sendiri.

“Namun Bawang Assan yang mempunyai sejarah lebih 100 tahun, sehingga sekarang tidak mempunyai sebarang taman perumahan ataupun sebarang pembangunan pusat komersil,” katanya.

Banyak perlu dilakukan untuk Bawang Assan

Keadaan itu, kata Lau, jelas memberikan gambaran bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membawa pembangunan ke kawasan Bawang Assan.

Katanya, masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di Bawang Assan adalah ketiadaan akses jalan raya yang sempurna sekaligus menyukarkan pelaksanaan pembangunan dilaksanakan di kawasan tersebut.

“Untuk lebih 30 tahun ini kenapa jalan tidak dibuat di sana, tiada jambatan dibina bagi menghubungkan kawasan itu dengan bandar Sibu?

“Jadi kita perlu buka dan bina lebih banyak jalan perhubungan supaya penduduk di kawasan rumah panjang termasuk kawasan dengan penduduk daripada kaum Cina dapat berhubung terus dengan penduduk lain di kawasan ini,” jelasnya.

Lau berkata, jika semua pembangunan infrastrutur asas dapat disediakan sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, potensi Bawang Assan sebagai salah pengeluar bahan makan kepada Sarawak dapat dilaksanakan dan dicapai.

Ini secara tidak langsung akan memberikan pulangan dan seterusnya memperkasakan taraf sosio-ekonomi penduduk di kawasan tersebut. 

“Cuba bayangkan satu hektar kita boleh hasilkan pendapatan sebanyak RM100, cuba kita bayangkan jika kita ada 10,000 hektar tanah yang diusahakan. Pastinya ia memberikan pulangan yang lumayan kepada Bawang Assan itu sendiri,” katanya.

Laluan jalan darat ke Rasau.

Lau berkata, semua rancangan pembangunan yang diimpikan untuk Bawang Assan tidak akan menjadi kenyataan jika tiada pelaburan dari segi pembangunan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik, projek tambatan banjir serta projek perparitan dan saliran yang sempurna.

Katanya, apabila semua kemudahan itu sudah disediakan ia berupaya menarik minat sektor swasta untuk melabur dan membuka operasi peniagaan mereka di Bawang Assan.

Ini secara tidak langsung akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan terbabit sekali gus menjadi sumber untuk menaik taraf sosio-ekonomi penduduk di kawasan itu.

Tuai Rumah Ali Jampi:  Ng Tutus ketinggalan

Tuai Rumah Ali Jampi dari Nanga Tutus, Igan merasakan banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu penduduk di kawasan Bawang Assan khususnya di kawasan yang berpenduduk dari kaum Dayak.

Katanya, bagi kawasan Nanga Tutus, masalah paling ketara adalah tiadanya bekalan air bersih dan terawat untuk kegunaan harian penduduk di rumah panjangnya.

“Dulu ketika musim kemarau, kami terpaksa meminta untuk dihantarkan bekalan air mineral untuk kegunaan memasak dan minuman.

“Sekarang agak lega sedikit memandangkan musim hujan dan kami boleh menakung air hujan tersebut untuk kegunanaan harian,” katanya.

Tuai Rumah Ali Jampi

Ali berkata, walaupun kawasan Nanga Tutus sudah mendapat bekalan elektrik 24 jam namun dari segi jalan perhubungan ia masih lagi terkebelakang.

Katanya penduduk Nanga Tutus masih bergantung kepada laluan jalan ladang kelapa sawit untuk ke rumah mereka selain menggunakan pengangkutan air menyusuri Batang Igan.

“Jalan ini masih lagi jalan lama dan akan menjadi berlopak serta berlumpur apabila musim hujan begini. Malah adakalanya ditengelami air menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan,” katanya.

Namun kini, ujar Ali, penduduk di Nanga Tutus mampu menarik nafas lega dengan adanya pembinaan jalan sepanjang 38 kilometer menghubungkan kawasan tersebut dengan bandar Sibu dan terus ke Mukah.

“Kita berterima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing kerana telah membantu kita dengan mengadakan jalan perhubungan ini.

“Apabila siapnya jalan ini nanti penduduk di Nanga Tutus akan lebih mudah berhubung dengan dunia luar dan pada masa sama lebih mudah untuk kita memasarkan hasil pertanian yang menjadi sumber pendapatan penduduk di sini,” katanya.

Sauh Marong:  Rasau perlukan bekalan elektrik dan kemudahan jalan raya

Senada dengan Ali, bekas kaunselor Sauh Marong berkata walaupun bekalan air bersih dan terawat sudahpun dinikmati namun di Rasau, bekalan elektrik dan kemudahan jalan raya masih lagi belum dinikmati penduduk kawasan tersebut.

Katanya, penduduk di Rasau masih lagi bergantung sepenuhnya dengan generator untuk menjana bekalan elektrik yang pastinya memerlukan kos yang besar untuk mengoperasikannya.

“Sejak cucu saya yang tidak ke sekolah selepas sekolah ditutup sementara akibat pandemik Covid -19 ini, sangat terasa benar kos yang terpaksa ditanggung untuk membeli minyak untuk membolehkan generator beroperasi.

“Jika ada membeli makanan basah dari pasar dan disimpan dalam peti sejuk dan jika ditutup generator ini nanti pastinya makanan yang disimpan dalam peti sejuk itu rosak.”

Sauh Marong

Sauh berkata, ketiadaan jalan raya yang sempurna juga menjadi masalah kepada penduduk di Rasau khususnya apabila musim perayaan.

Katanya, sejak lebih 30 tahun lalu, penduduk di kawasan itu bergantung kepada jalan ladang kelapa sawit sebagai alternatif kepada laluan sungai untuk sampai ke Rasau.

“Kami hendak ke pasar khususnya apabila musim perayaan seperti Gawai atau Krismas, penuh barang-barang yang dibawa menggunakan bot express dan kebanyakan masa barang-barang ini sudah rosak apabila tiba di Rasau.

“Kalaupun menggunakan laluan darat, ia hanya boleh dilalui menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana ia merupakan jalan ladang.

“Walaupun kadangkala boleh dilalui kenderaan kecil, situasi sama dihadapi oleh penduduk di Nanga Tutus juga dihadapi kami iaitu laluan itu akan ditengelami air pada ketika musim hujan melanda,” jelasnya. 

Beliau berkata, laluan darat yang menghubungkan kawasan tersebut hanya ada apabila sebuah syarikat swasta membuka ladang sawit di kawasan tersebut.

Tegasnya, tanpa ladang kelapa sawit tersebut, pastinya penduduk d Rasau masih ternanti-nanti akan kewujudan jalan raya untuk menghubungkan kawasan itu.

Tambah Sauh, kekurangan kemudahan itu meyebabkan kawasan Rasau terkebelakang dari segi pembangunan ekonomi penduduknya walaupun kawasan tersebut mampu dijadikan kawasan pengeluar makanan bagi kawasan Bawang Assan.

Ujarnya, penduduk di Rasau sudah menunggu lebih 30 tahun untuk mendapatkan sebuah jalan raya yang sempurna agar pembukaan kawasan pertanian baharu dapat dilakukan sekaligus memberikan manfaat dalam menaiktaraf tahap sosial-ekonomi penduduk di kawasan terbabit.

Daniel Bujal:  Bawang Assan boleh dibangun seperti Dudong dan Nangka

Sementara itu, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Daniel Bujal berkata, banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk menjadikan Bawang Assan sama membangun seperti jirannya DUN Dudong dan DUN Nangka.

Katanya, sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kawasan Bawang Assan, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menyediakan satu jaringan jalan raya yang sempurna di kawasan tersebut, bekalan elektrik 24 jam dan bekalan air terawat serta bersih bagi kegunaan harian penduduk.

“Kekurangan semua kemudahan ini berlaku disebabkan wakil rakyat yang mewakili Bawang Assan ketika dia bersama dengan kerajaan tidak memberikan fokus kepada penyediaan kemudahan ini kerana beliau pada masa itu lebih memberikan fokus kepada aktiviti peniagaan dan perdagangan,” katanya.

Daniel Bujal

Beliau berkata, mengambil contoh penyediaan jalan raya yang menghubungkan kawasan Sungai Bidut, Kampung Sebedil, Kampung Bungan Kecil dan Kampung Tutus, projek tersebut telahpun dipohon sejak lebih 30 tahun lalu oleh penduduk di kawasan berkenaan.

Namun hanya kini ia dilaksanakan pembinaannya seiring dengan hasrat kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mahu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di luar bandar.

Katanya, untuk jangka masa panjang apa yang diperlukan penduduk di kawasan DUN Bawang Assan adalah kemudahan jalan raya yang sempurna, bekalan elektrik, bekalan air terawat dan bersih serta kemudahan infrastruktur lain seperti kemudahan telekomunikasi dan sebagainya.

“Penyediaan semua kemudahan ini pastinya akan memberikan satu nafas baharu untuk kawasan Bawang Assan setanding dengan kawasan sekitarnya.

“Oleh demikian saya selalu menasihatkan penduduk di Bawang Assan ini untuk sentiasa bersama kerajaan pimpinan GPS agar mereka tidak terus ketinggalan dari segi arus pembangunan.

“Ikutlah kerajaan yang boleh membantu kita dari segi pembangunan dan masa pilihan raya nanti kita mesti mencari seorang pemimpin yang bukan sahaja boleh membantu kita tetapi membawa suara kita sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat. Jangan kita pilih orang seperti sebelum ini kerana sudah lebih 30 tahun kawasan ini tidak merasai pembangunan yang sepatutnya,” katanya. — DayakDaily