Oleh Brad Rantayy
MIRI, 30 Dis: Padah menampar, menumbuk dan menolak isteri sendiri sehingga lebam, seorang tukang servis aircon ditahan polis kelmarin (Selasa, 29 Dis) untuk siasatan lanjut.
Turut ditahan bersama suspek berusia 30 tahun itu, adalah rakan sekerjanya kerana disyaki bersama-sama suspek melakukan kekerasan terhadap mangsa di dalam sebuah rumah di Taman Wah Sing, Off Jalan Miri-Bintulu pada 27 Disember lalu sekitar jam 12.30 pagi.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri dalam operasi dikenali sebagai ‘Ops Ambang Tahun Baru’.
Tangkapan dilakukan sekitar jam 3.35 petang sehingga 4 petang pada Selasa di Morsjaya Commercial centre.
Tangkapan dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh mangsa berusia 27 tahun itu selepas kejadian.
Difahamkan, suami mangsa, iaitu suspek, telah membawa rakannya ke kediamannya untuk bersama-sama memukul isterinya.
Kedua-kedua suspek kini sedang ditahan di Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. — DayakDaily