Batang Lupar: Rohani tidak tidur lena selagi tidak bertemu dengan rakyat

Rohani (berdiri dua kanan) beramah mesra dengan penduduk di Kampung Pusa.
Advertisement

SRI AMAN, April 30: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim menegaskan beliau tidak mengambil mudah saingan daripada calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Rohani yang juga penyandang Parlimen Batang Lupar menambah, selagi tidak turun padang bertemu dengan masyarakat akar umbi, beliau tidak dapat tidur dengan lena.

“Saya mesti turun padang bertemu dengan para pengundi di sini kerana adalah menjadi tangungjawab saya untuk mendekati mereka selepas dicalonkan semula di Parlimen ini.

Advertisement

“Saya harus bekerja lebih kuat kerana dua calon pakatan pembangkang juga tidak kurang hebat turun padang bagi menyelami masalah rakyat di sini,” katanya di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu memberitahu, momentum bagi memastikan BN mempertahankan semula kerusi Parlimen Batang Lupar perlu dipertingkatkan oleh semua jentera parti BN.

Katanya, Parlimen Batang Lupar juga harus dikekalkan sebagai kubu kuat BN kerana hanya dengan kemenangan sahaja boleh menjamin kepada kelangsungan pembangunan di sini.

“Saya mesti membuktikan bahawa sebagai calon yang diberikan kepercayaan oleh pucuk kepimpinan tertinggi BN, maka saya perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi membawa kemajuan serta pembangunan di Parlimen Batang Lupar.

“Malah, tempoh berkempen sekarang merupakan masa terbaik bagi saya menerangkan manifesto yang menjadi aku janji BN kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Dalam PRU14 kelak, Rohani dicabar oleh Wan Abdillah Wan Ahmad (PAS) dan Narudin Mentali (AMANAH). — DayakDaily

Advertisement