Batalion 11 PGA rampas 100 kotak rokok dan lori, nilai rampasan RM1.9 juta

Khaw (tengah) menunjukkan kotak rokok yang dirampas.

KUCHING, Okt 18: Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 8,000 karton atau 100 kotak rokok jenama LA menerusi satu serbuan di kawasan Perindustrian Muara Tabuan, petang semalam.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Khaw Kok Chin, berkata nilai rampasan rokok yang disyaki diseludup dan sebuah lori jenis tiga tan yang dirampas adalah sebanyak RM1,965,000.

Bertindak di atas maklumat, pada pukul 3.45 petang, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Risik IP Briged dan Skuadron 11 yang diketuai oleh ASP Norman Chendan dan ASP Syamsuri telah menahan serta membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori yang dipandu seorang lelaki Cina, jelasnya.


“Hasil pemeriksaan mendapati semua kotak di dalam lori itu dipercayai diseludup dan tiada bercukai. Seorang lelaki berusia 54 tahun juga telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Khaw (kiri) menunjukkan kotak rokok yang dirampas.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Supt Rosdi Inai

Khaw menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. —DayakDaily