SRI AMAN, April 26: Sembilan orang penumpang dan seorang pemandu sebuah bas ekspres terselamat selepas kenderaan tersebut terbakar di Jalan Sri Aman-Serian berdekatan Kampung Abok di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.35 petang.
Katanya, sebaik menerima laporan itu, sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah bas ekspres sedang terbakar.
“Pemeriksaan lanjut mendapati sembilan penumpang dan seorang pemandu bas berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, pasukan bomba kemudian bertindak membuat operasi pemadaman dengan menggunakan sumber air dari jentera dan sumber air terbuka.
Ujarnya, kebakaran bas itu terkawal sepenuhnya pada pukul 5.15 petang.
“Siasatan lanjut mendapati tiada mangsa cedera dalam kebakaran itu.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat insiden itu masih disiasat,” katanya. — DayakDaily