Gempar bom mortar jenis UXO ditemui

Inilah bom mortar jenis UXO yang ditemui.

KUCHING, April 26: Penduduk di Kampung Lintang di sini gempar dengan penemuan sebutir bom lama di Jalan Lorong Petra Jaya 1, Kampung Sungai Bedil Besar di sini hari ini.

Bom mortar jenis UXO itu ditemui oleh seorang pemotong rumput kira-kira pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Acp Ng Ah Lek berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bom mortar itu pada pukul 10.25 pagi.

Katanya, sepasukan anggota polis peronda kemudian diarahkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Anggota unit pemusnah bom juga turun ke lokasi penemuan bagi melakukan kerja-kerja susulan.


“Siasatan lanjut mendapati penemuan mortal tersebut tiada ancaman dan tidak membahayakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ng menambah, mortar tersebut dipercayai untuk kegunaan latihan.

“Bom mortar itu kemudian dibawa balik ke lapang sasar Batu Kawa bagi tujuan pemusnahan,” ujarnya lagi. — DayakDaily