Barisan kepimpinan PBB mantap, tiada keperluan ditukar — Abdul Karim

Abdul Karim (duduk tiga dari kiri) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Jun: Kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas adalah faktor mengapa tiada pertandingan bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-15.

Naib Presiden PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keputusan cemerlang Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan memberikan keyakinan kepada ahli-ahli PBB bahawa parti memiliki barisan kepimpinan yang mantap.


“Inilah kegembiraan di kalangan ahli-ahli PBB, memiliki satu pasukan yang mantap untuk memimpin di dalam pilihan raya.

“Justeru, kenapa hendak mengubah kepimpinan ini, biarkan sahaja. Inilah sebab kemungkinan semasa borang pencalonan dibuka, tetap tiada pertandingan,” katanya pada sidang media selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Perhimpunan Agung Tritahunan PBB Ke-15 mulai 17 hingga 19 Jun ini menarik kerana diadakan selepas GPS memenangi PRN.

Dalam sejarah pilihan raya, katanya, belum pernah gabungan tersebut menang dengan begitu besar dengan memperolehi 93 peratus populariti daripada jumlah undi.

“Sebelum ini bagi jawatan naib presiden ada pertandingan, di mana saya ingat ada tujuh daripada kami bertanding, tetapi kali ini tiada.

“Tiada pertandingan juga adalah demokrasi, ada pertandingan pun juga demokrasi,” ujar Abdul Karim.

Pada Sabtu (11 Jun) lepas dalam satu sidang media, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Parti PBB Datuk Awang Bemee Ali Basah telah mengumumkan senarai Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB sesi 2022-2025 yang telah dicalonkan menerusi Jawatankuasa Pemilihan.

Presiden bagi Parti PBB ialah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan Presiden ialah Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Naib Presiden Kanan ialah Dato Sri Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Manakala Naib Presiden ialah Dato Gerald Rentap Jabu, Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapaee, Abdul Karim, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Dato Gerawat Gala, Dato Sri Fatimah Abdullah (Ketua Wanita) dan Miro Simuh (Ketua Pemuda).

“Semua jawatan-jawatan ini menang tanpa bertanding kerana cawangan-cawangan mencalonkan dan tiada calon lain dicalonkan,” jelas Awang Bemee. — DayakDaily