Bapa rogol anak direman tujuh hari

Suspek (tengah) diiringi anggota polis untuk proses reman.

LAWAS, Mac 9: Seorang lelaki yang didakwa merogol anak kandungnya sejak 10 tahun lalu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Mac 9 depan.

Perintah tahanan reman itu diluluskan oleh Majistret Kelas Kedua, Keli Mareng di Pejabat Daerah Lawas, di sini.

Sebelum itu, suspek yang memakai pakaian lokap dan diiringi oleh anggota polis tiba di perkarangan Pejabat Daerah Lawas kira-kira pukul 9 pagi.


Sebelum ini, DayakDaily melaporkan perbuatan terkutuk seorang bapa yang disyaki merogol anaknya sejak anaknya berusia 15 tahun terbongkar apabila dia ditahan polis di Kampung Languban, Merapok di sini semalam.

Suspek berusia 47 tahun tersebut ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Dsp. Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan penahanan suspek berkenaan.

Katanya, suspek kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Suspek diberkas susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa yang kini berusia 25 tahun di IPD Lawas, semalam.

“Dalam laporan itu, mangsa mendakwa telah menjadi mangsa seks bapanya sejak dia berusia 15 tahun,” katanya.

Kali terakhir suspek melakukan perbuatan hina itu pada Feb 1 lalu di sebuah pondok di kebun getah di kampung berkenaan. — DayakDaily