Bapa maut, anak cedera, apabila motosikal langgar papan tanda

Lokasi kemalangan
Advertisement

KANOWIT, Ogos 3: Malang menimpa dua beranak apabila seorang bapa maut, manakala anak lelakinya cedera, apabila motosikal yang ditunggang mereka merempuh papan tanda di Jalan KJD di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.05 petang itu telah mengakibatkan mangsa, Julin Limbang, 51, meninggal dunia di tempat kemalangan. Manakala, anak lelaki mangsa yang berusia 12 tahun patah jari kaki dan buku lalinya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa dua beranak terbabit dikatakan hendak pulang ke kediaman mereka di Rumah Panjang Ramau Sungai Maong, Kanowit, dari arah Julau.

Advertisement

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki dua beranak terbabit
dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebuah papan tanda di bahu jalan itu.

“Kemalangan tersebut telah itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badannya.

“Kanak-kanak lelaki itu pula terselamat, namun dia patah jari kaki dan buku lalinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, kemalangan itu tidak melibatkan kenderaan lain. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kanowit untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement