BAU, Julai 22: Seorang lelaki dan anaknya nyaris maut apabila Perodua Alza yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terhumban masuk ke dalam gaung di Jalan Bau-Lundu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, dua beranak terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.
Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada pengguna jalan raya lain yang kebetulan melalui jalan sama.
Katanya, anggota polis kemudian menghubungi pihak bomba dan petugas perubatan untuk membantu di lokasi nahas tersebut.
“Apabila sampai di lokasi, anggota polis mendapati sebuah Perodua Alza dalam keadaan terbalik di dalam gaung di bahu jalan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua beranak terbabit berjaya keluar dari kenderaan itu dan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jurucakap sama memberitahu, siasatan lanjut mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam insiden tersebut.
Katanya, dua beranak terbabit kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Punca kemalangan itu masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily